IBRANI 12:3-13

IBRANI 12:3-13 BM

Fikirkanlah betapa beratnya penderitaan yang dialami oleh Yesus, kerana orang berdosa sangat membenci Dia! Oleh itu janganlah berkecil hati dan putus asa. Dalam perjuangan kamu melawan dosa, kamu belum pernah melawan sehingga dibunuh. Janganlah lupa akan nasihat Allah, yang diberikan kepada kamu sebagai anak-anak-Nya: “Hai anak-Ku, perhatikan baik-baik apabila Tuhan menunjukkan kesalahanmu, dan janganlah kecil hati apabila Dia menghukum kamu. Tuhan menunjukkan kesalahan setiap orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum setiap orang yang diakui-Nya sebagai anak.” Hendaklah penderitaan yang kamu tanggung dianggap sebagai hukuman daripada seorang bapa. Penderitaan kamu membuktikan bahawa Allah memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya. Pernahkah seorang anak tidak dihukum oleh bapanya? Jika kamu tidak dihukum seperti semua anak-Nya yang lain, hal ini bererti kamu bukan anak sah, tetapi anak haram. Di dunia ini kita mempunyai bapa. Mereka menghukum kita, dan kita menghormati mereka. Oleh itu, kita harus menerima hukuman yang dikenakan oleh Bapa kita yang di syurga, supaya kita hidup. Bapa kita yang di dunia menghukum kita hanya untuk masa pendek ketika kita masih anak-anak, menurut apa yang dirasakan baik oleh mereka. Tetapi Allah menghukum kita untuk kebaikan kita sendiri, supaya kita dapat menjadi suci seperti Dia. Pada masa kita dihukum, hukuman itu membuat kita susah hati, bukannya senang hati. Tetapi kemudian, orang yang dihukum untuk menunjukkan kesalahan mereka, akan hidup menurut kehendak Allah dan mengalami kesejahteraan. Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lemah dan lutut yang gementar! Berjalanlah sentiasa pada jalan yang lurus, supaya kaki yang tempang itu tidak terkilir, tetapi menjadi sembuh.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami