KISAH RASUL-RASUL 8:4-25

KISAH RASUL-RASUL 8:4-25 BM

Pengikut Yesus yang tercerai-cerai itu mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah ke serata tempat. Filipus pergi ke kota yang terpenting di Samaria dan memberitahu orang di sana tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah. Apabila orang di situ mendengar Filipus berkata-kata dan melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka memperhatikan baik-baik apa yang dikatakan oleh Filipus. Sambil menjerit-jerit roh jahat keluar daripada banyak orang yang kerasukan. Banyak orang lumpuh dan tempang pun disembuhkan. Oleh itu orang di Samaria sangat bersukacita. Seorang lelaki bernama Simon tinggal di kota itu. Sudah beberapa lama dia mempesonakan orang Samaria dengan ilmu sihirnya. Dia mengaku dirinya seorang yang luar biasa. Semua lapisan masyarakat di kota itu mendengarkan dia dengan penuh minat. Mereka berkata, “Tuhan yang disebut ‘Kekuasaan Besar’ sudah menjelma dalam orang ini.” Mereka mendengarkan dia dengan penuh minat, kerana sudah lama sekali dia mempesonakan mereka dengan ilmu sihirnya. Tetapi apabila mereka percaya kepada perkhabaran Filipus, iaitu Berita Baik tentang Pemerintahan Allah dan tentang Yesus Kristus, mereka dibaptis - baik lelaki mahupun perempuan. Simon sendiri pun percaya kepada perkhabaran Filipus, dan setelah dia dibaptis, dia mengikuti Filipus. Simon hairan melihat keajaiban dan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus. Rasul-rasul di Yerusalem mendengar berita bahawa orang Samaria sudah menerima firman Allah. Oleh itu mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. Apabila Petrus dan Yohanes tiba, mereka berdoa bagi pengikut Yesus di situ supaya menerima Roh Allah, kerana tidak seorang pun di kalangan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka baru dibaptis demi nama Tuhan Yesus sahaja. Lalu Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas kepala orang Samaria di situ, dan mereka pun menerima Roh Allah. Simon melihat bahawa Roh Allah diberikan kepada orang apabila rasul-rasul meletakkan tangan ke atas kepala orang. Oleh itu, Simon menawarkan wang kepada Petrus dan Yohanes, dan berkata, “Berikan kuasa itu kepada saya supaya orang menerima Roh Allah apabila saya meletakkan tangan saya ke atas kepala mereka.” Tetapi Petrus menjawab, “Terkutuklah kamu dan wangmu, kerana menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang! Kamu tidak mempunyai bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak tulus di sisi Allah. Bertaubatlah daripada niatmu yang jahat itu, dan berdoalah supaya Tuhan mengampuni kamu daripada fikiran yang sesat itu! Aku tahu bahawa kamu sungguh iri hati dan diperhamba oleh dosa.” Lalu Simon berkata kepada Petrus dan Yohanes, “Berdoalah kepada Tuhan bagi saya, supaya saya tidak ditimpa perkara-perkara yang saudara-saudara katakan itu.” Setelah Petrus dan Yohanes memberikan kesaksian tentang Yesus serta menyampaikan perkhabaran Tuhan, mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan Berita Baik itu di banyak pekan di daerah Samaria.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami