1 SAMUEL 16:14-23

1 SAMUEL 16:14-23 BM

Roh TUHAN meninggalkan Raja Saul, dan baginda diseksa oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN. Maka hamba-hamba Raja Saul berkata kepadanya, “Hamba sekalian tahu bahawa roh jahat yang disuruh oleh TUHAN menyeksa tuanku. Jika tuanku setuju, hamba semua bersedia mencari seorang yang pandai bermain kecapi. Apabila tuanku diseksa oleh roh jahat, orang itu dapat memainkan kecapinya dan tuanku akan berasa tenang lagi.” Oleh itu Raja Saul memberikan perintah, “Carilah seorang yang pandai bermain muzik, dan bawalah dia ke mari.” Mendengar hal itu salah seorang hamba raja berkata, “Isai, orang Betlehem itu mempunyai seorang anak lelaki yang pandai bermain muzik. Dia juga seorang yang berani dan askar yang baik. Lagipun dia kacak dan pandai bercakap. TUHAN menyertai dia.” Kemudian Raja Saul mengutus orang kepada Isai dengan pesan, “Suruhlah anakmu Daud, yang menggembalakan domba itu datang menghadap beta.” Kemudian Isai menyediakan seekor keldai, lalu memuatinya dengan roti dan kirbat kulit yang penuh dengan wain; dia menyediakan juga seekor anak kambing. Semuanya itu diberikannya kepada Daud untuk dipersembahkan kepada Raja Saul. Demikianlah Daud datang kepada Raja Saul dan berkhidmat kepada baginda. Raja Saul sangat suka kepada Daud, lalu memilih dia menjadi pembawa senjatanya. Kemudian Raja Saul mengirim berita kepada Isai, “Beta suka kepada Daud. Benarkanlah dia tetap tinggal di sini dan berkhidmat kepada beta.” Sejak itu, setiap kali Raja Saul dirasuki roh jahat, Daud memainkan kecapinya. Kemudian roh jahat itu meninggalkan Raja Saul, lalu Raja Saul pun menjadi tenang dan baik semula.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami