1 KORINTUS 15:1-11

1 KORINTUS 15:1-11 BM

Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu. Itulah Berita Baik, perkhabaran yang aku beritakan kepada kamu. Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu berpegang kepadanya dengan teguh. Tetapi jika kamu tidak berpegang kepadanya dengan teguh, maka kepercayaan kamu sia-sia. Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula. Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal. Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul. Terakhir sekali Dia juga menampakkan diri kepadaku, yang lahir bukan pada waktunya. Aku ini rasul yang paling tidak penting. Sebenarnya aku tidak layak disebut rasul, kerana aku sudah menganiaya jemaah Allah. Tetapi kerana rahmat Allah, aku menjadi seperti sekarang ini dan berkat-Nya kepadaku tidak sia-sia. Sebaliknya aku bekerja lebih keras daripada semua rasul yang lain. Sebenarnya hal itu bukan usahaku sendiri, tetapi usaha Allah yang mengasihi aku dan yang bekerja bersama-samaku. Oleh itu, sama ada aku yang mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu ataupun rasul-rasul lain yang melakukannya, hal itu tidak penting. Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama dan kamu semua percaya kepadanya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami