1 KORINTUS 14:1-12

1 KORINTUS 14:1-12 BM

Oleh itu, kamu harus berusaha untuk mengasihi orang lain. Berusahalah juga untuk menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah, terutama sekali kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, tidak bercakap dengan manusia, tetapi mereka bercakap dengan Allah. Tidak seorang pun dapat memahami apa yang dikatakan oleh mereka, kerana Roh Allah menyebabkan mereka berkata-kata tentang hal-hal yang hanya diketahui oleh Allah. Tetapi orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, berkata-kata kepada manusia. Dengan demikian mereka menguatkan, menggalakkan dan menghibur orang lain. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib hanya menguatkan diri sendiri, sedangkan orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah meneguhkan jemaah. Alangkah baiknya jika kamu semua dapat bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. Tetapi lebih baik lagi jika kamu semua dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang dapat mengkhabarkan berita daripada Allah, lebih berguna daripada orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, kecuali ada antara jemaah yang dapat menjelaskannya supaya jemaah dapat dikuatkan. Saudara-saudaraku, seandainya aku datang kepada kamu dan berkata-kata dalam bahasa-bahasa yang ajaib, apakah faedahnya bagi kamu? Tentu tidak ada faedahnya sama sekali! Lain halnya jika aku menyampaikan suatu kenyataan daripada Allah, atau menjelaskan sesuatu tentang Allah, atau menyampaikan berita daripada Allah, ataupun mengajar. Marilah kita ambil contoh alat-alat muzik yang tidak bernyawa, seperti seruling dan kecapi. Jika not-notnya tidak dimainkan dengan jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang dimainkan? Jika trompet ditiup dengan tidak menentu, siapakah yang akan bersiap untuk berperang? Demikian juga, siapakah yang akan memahami apa yang kamu katakan, jika perkhabaran yang kamu sampaikan dalam bahasa yang ajaib itu tidak jelas? Kata-kata kamu itu sia-sia. Banyak bahasa di dunia ini, tetapi semuanya bermakna. Jika aku tidak memahami bahasa yang digunakan seseorang, maka orang itu menjadi seperti orang asing kepadaku; begitu juga aku kepada dia. Aku tahu bahawa kamu ingin sekali menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah. Tetapi yang terutama, kamu harus berusaha untuk menggunakan kurnia-kurnia yang dapat meneguhkan jemaah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami