YouVersion Logo
Search Icon

MAZMUR 45

45
Lagu Perkahwinan Diraja
1Mazmur puak Korah. Lagu kasih. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung.
2Hati hamba penuh dengan kata-kata yang indah
semasa hamba menggubah lagu ini untuk raja;
lidah hamba umpama batang pena seorang pujangga.
3Tuanku yang paling kacak antara manusia,
titah tuanku penuh kebaikan,
sebab itu, tuanku diberkati Allah selama-lamanya.
4Ikatkan pedang pada pinggang, hai raja perkasa,
tuanku sungguh agung dan mulia!
5Majulah dengan kemuliaan menuju kemenangan,
untuk membela kebenaran dan keadilan,
dengan kekuatan tuanku, rebutlah kemenangan yang besar.
6Anak panah tuanku yang tajam akan menembusi jantung musuh;
bangsa-bangsa akan rebah ke bawah kaki tuanku.
7Takhta yang dikurniakan Allah kepada tuanku
akan kekal selama-lamanya.
Tuanku memerintah rakyat dengan adil;
8 tuanku mencintai perkara yang benar dan membenci perkara yang jahat.
Oleh itu, Allah, Allah tuanku telah memilih tuanku,
dan membahagiakan tuanku lebih daripada raja lain.
9Pakaian tuanku berbau mur, gaharu, dan cendana;
pemuzik di istana gading membuat tuanku gembira.
10Antara wanita yang disayangi tuanku terdapat puteri-puteri,
dan di sebelah kanan takhta tuanku berdiri permaisuri
yang memakai perhiasan emas murni.
11Dengarlah kata-kata hamba,
hai permaisuri,
lupakanlah bangsa serta kerabat tuanku.
12Kecantikan tuanku memikat hati raja,
tuanku milik baginda,
taatlah kepada baginda.
13Rakyat Tirus akan membawa hadiah untuk tuanku,
orang kaya akan mencuba mengambil hati tuanku.
14Puteri masuk dengan penuh seri,
pakaiannya bersulam benang emas.
15Dengan pakaian berwarna-warni puteri dibawa menghadap raja,
diiringi oleh anak-anak dara,
yang juga dibawa menghadap raja.
16Dengan sorakan yang gembira,
mereka masuk ke istana raja.
17Tuanku, raja hamba akan mempunyai banyak putera,
untuk meneruskan kerajaan nenek moyang tuanku,
dan tuanku akan menjadikan mereka pemerintah di seluruh dunia.
18Lagu hamba akan mengekalkan kemasyhuran tuanku turun-temurun,
dan bangsa-bangsa akan memuji tuanku selama-lamanya.

Currently Selected:

MAZMUR 45: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy