YouVersion Logo
Search Icon

MAZMUR 119

119
Taurat TUHAN
1Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela,
dan hidup menurut Taurat TUHAN.
2Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya,
dan mentaati Dia dengan sepenuh hati.
3Mereka tidak melakukan kejahatan,
tetapi hidup menurut kehendak TUHAN.
4Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN,
dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia.
5Semoga aku setia
mematuhi peraturan-Mu.
6Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu,
aku tidak akan dipermalukan.
7Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil,
aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni.
8Aku akan taat kepada hukum-Mu;
janganlah sekali-kali tinggalkan aku!
Mentaati Taurat TUHAN
9Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci?
Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu.
10Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau;
jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu.
11Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku,
supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
12Aku memuji Engkau, ya TUHAN;
ajarlah aku kehendak-Mu.
13Aku akan menceritakan
segala hukum yang telah Engkau berikan.
14Aku gemar menurut perintah-Mu,
lebih daripada memiliki segala kekayaan.
15Aku akan mengkaji peraturan-Mu,
dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu.
16Aku gemar akan hukum-Mu;
aku tidak akan melupakan perintah-Mu.
Taurat TUHAN Membahagiakan Orang
17Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu,
supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu.
18Bukalah mataku supaya aku dapat melihat
ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu.
19Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika;
janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku.
20Hatiku sangat rindu
untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu.
21Engkau menegur orang yang sombong;
terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu.
22Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka,
kerana aku telah melakukan hukum-Mu.
23Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku,
tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu.
24Peraturan-Mu menyenangkan hatiku;
peraturan-Mu menasihati aku.
Hasrat untuk Mentaati Taurat TUHAN
25Aku terbaring di atas debu kerana kalah;
pulihkanlah aku menurut janji-Mu.
26Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku;
ajarlah aku kehendak-Mu.
27Tolonglah aku memahami hukum-Mu,
dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan.
28Jiwaku hancur kerana kesedihan;
kuatkanlah aku menurut janji-Mu.
29Jauhkanlah aku dari jalan yang salah,
dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu.
30Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu,
dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu.
31Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN,
jangan biarkan aku dipermalukan.
32Aku suka mentaati perintah-Mu,
kerana Engkau menambahkan pengertianku.
Doa Minta Pengertian
33Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu,
dan aku akan mentaatinya selalu.
34Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya,
dan dengan sepenuh hati melakukannya.
35Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu,
kerana perintah-Mu menggembirakan aku.
36Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu,
dan bukan untuk mendapat kekayaan.
37Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia;
berilah aku hidup menurut kehendak-Mu.
38Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu,
janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu.
39Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti;
betapa baiknya ketetapan-Mu.
40Aku mahu mentaati perintah-Mu;
berilah aku hidup baru kerana Engkau adil.
Mempercayai Taurat TUHAN
41Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku;
selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
42Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku,
kerana aku mempercayai firman-Mu.
43Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar,
kerana aku yakin akan ketetapan-Mu.
44Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu,
untuk selama-lamanya.
45Maka aku akan hidup dengan bebas,
kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu.
46Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja,
dan aku tidak akan dipermalukan.
47Aku gemar mentaati perintah-Mu,
kerana aku mencintai perintah-Mu.
48Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu;
aku akan merenungkan peraturan-Mu.
Yakin akan Taurat TUHAN
49Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu;
janji yang telah memberikan harapan kepadaku.
50Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur,
kerana janji-Mu memberi aku hidup.
51Orang sombong selalu menghina aku,
tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu.
52Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu,
dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN.
53Aku sangat marah kepada orang jahat
apabila mereka melanggar Taurat-Mu.
54Selama hidupku yang singkat di bumi ini,
aku menggubah lagu tentang perintah-Mu.
55Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN,
dan aku memikirkan Taurat-Mu.
56Aku mendapat kebahagiaan
dengan mentaati perintah-Mu.
Kepatuhan kepada Taurat TUHAN
57Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN;
aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu.
58Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu;
kasihanilah aku menurut janji-Mu.
59Aku telah memikirkan kelakuanku,
dan berjanji akan menurut peraturan-Mu.
60Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa
untuk melakukan perintah-Mu.
61Orang jahat memasang perangkap untukku,
tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu.
62Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau,
kerana ketetapan-Mu adil.
63Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu,
semua orang yang mematuhi hukum-Mu.
64Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal;
ajarlah aku perintah-Mu.
Nilai Taurat TUHAN
65Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN,
dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu.
66Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan,
kerana aku percaya kepada perintah-Mu.
67Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu,
tetapi kini aku mematuhi firman-Mu.
68Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik;
ajarlah aku perintah-Mu.
69Orang sombong memfitnah aku,
tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu.
70Mereka tidak mempunyai pengertian,
tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku.
71Memang baik Engkau menghukum aku,
supaya aku memahami perintah-Mu.
72Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga
daripada segala kekayaan di dunia.
Keadilan Taurat TUHAN
73Engkau mencipta dan membentuk aku;
berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu.
74Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku,
kerana aku percaya kepada janji-Mu.
75Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN,
dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia.
76Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku,
menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu.
77Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup,
kerana aku gemar akan Taurat-Mu.
78Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku,
tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu.
79Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku,
semua orang yang mengenal perintah-Mu.
80Semoga aku mentaati segala perintah-Mu,
supaya aku tidak dipermalukan.
Doa Minta Pembebasan
81Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku;
aku percaya akan janji-Mu.
82Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan,
sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?”
83Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang,
namun aku tidak melupakan perintah-Mu.
84Sampai bilakah aku mesti menunggu?
Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku?
85Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu
sudah menggali lubang untuk memerangkap aku.
86Semua perintah-Mu dapat dipercayai;
tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta!
87Mereka hampir berjaya membunuh aku,
tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu.
88Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal,
supaya aku dapat mentaati hukum-Mu.
Kepercayaan kepada Taurat TUHAN
89Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya;
firman-Mu kekal abadi di syurga.
90Engkau tetap setia selama-lamanya,
Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada.
91Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang,
kerana semuanya hamba-Mu.
92Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku,
pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku.
93Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu,
kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku.
94Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu;
aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu.
95Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku,
tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu.
96Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas;
hanya perintah-Mu yang sempurna.
Cinta kepada Taurat TUHAN
97Aku sangat mencintai Taurat-Mu!
Aku merenungkannya sepanjang hari.
98Perintah-Mu selalu bersama-sama aku,
dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku.
99Pengertianku melebihi pengertian semua guruku,
kerana aku merenungkan peraturan-Mu.
100Aku lebih bijak daripada orang tua,
kerana aku mentaati perintah-Mu.
101Aku mengelakkan segala kelakuan jahat,
kerana aku mahu mematuhi firman-Mu.
102Aku tidak melalaikan peraturan-Mu,
kerana Engkaulah yang mengajar aku.
103Betapa manisnya peraturan-Mu;
lebih manis daripada madu!
104Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu,
oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk.
Taurat TUHAN Memberikan Cahaya
105Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku,
dan cahaya yang menerangi jalanku.
106Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah,
untuk mentaati peraturan-Mu yang adil.
107Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN;
selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu.
108Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN,
dan ajarlah aku perintah-Mu.
109Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku;
aku tidak melupakan Taurat-Mu.
110Orang jahat memasang perangkap untukku,
tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu.
111Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya;
perintah-Mu adalah kesukaan hatiku.
112Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu
sehingga akhir hidupku.
Taurat TUHAN Memberikan Keselamatan
113Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati,
tetapi aku mencintai Taurat-Mu.
114Engkaulah pembelaku dan pelindungku;
aku berharap kepada janji-Mu.
115Hai orang jahat, pergilah daripadaku.
Aku akan mematuhi perintah Allahku.
116Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup;
jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku!
117Bantulah aku, lalu aku akan selamat,
dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu.
118Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu;
muslihat mereka sia-sia belaka.
119Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah;
oleh itu aku mencintai peraturan-Mu.
120Aku gementar kerana takut kepada-Mu,
dan aku gentar kerana ketetapan-Mu.
Taat kepada Taurat TUHAN
121Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar;
jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku!
122Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu;
jangan biarkan orang sombong menindas aku!
123Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku,
dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu.
124Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu,
dan ajarlah aku perintah-Mu.
125Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian,
supaya aku memahami ajaran-Mu.
126Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN,
kerana orang melanggar Taurat-Mu.
127Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas,
lebih daripada emas murni.
128Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu;
aku benci akan segala perbuatan yang salah.
Hasrat untuk Mentaati Taurat TUHAN
129Ajaran-Mu sungguh mengagumkan;
aku mentaatinya dengan sepenuh hati.
130Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya,
memberikan pengertian kepada orang jahil.
131Aku haus akan perintah-Mu,
aku sangat menginginkannya.
132Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku
seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu.
133Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh;
jangan biarkan kejahatan menguasai aku.
134Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku,
supaya aku dapat mentaati perintah-Mu.
135Berkatilah aku dengan hadirat-Mu,
dan ajarlah aku hukum-Mu.
136Air mataku mengalir seperti sungai,
kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu.
Keadilan Taurat TUHAN
137Engkau adil, ya TUHAN,
dan hukum-Mu adil.
138Peraturan yang Engkau berikan
semuanya adil dan benar.
139Kemarahan membara dalam diriku
kerana musuhku melanggar perintah-Mu.
140Janji-Mu dapat dipercayai,
aku sangat mencintainya.
141Aku ini tidak penting dan aku terhina,
tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu.
142Keadilan-Mu kekal selama-lamanya,
dan Taurat-Mu tetap benar.
143Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku,
tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku.
144Peraturan-Mu selalu adil;
berilah aku pengertian supaya aku hidup.
Doa Minta Pembebasan
145Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu;
kabulkanlah doaku, ya TUHAN;
aku akan taat kepada perintah-Mu.
146Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku;
aku mahu mematuhi hukum-Mu.
147Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong,
aku berharap kepada janji-Mu.
148Sepanjang malam aku tidak tidur,
kerana merenungkan peraturan-Mu.
149Demi kasih-Mu yang kekal,
ya TUHAN, dengarlah aku;
kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.
150Penganiayaku yang kejam sudah dekat;
mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu.
151Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN,
dan segala perintah-Mu itu benar.
152Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu,
yang Engkau kekalkan selama-lamanya.
Doa Minta Tolong
153Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku,
kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu.
154Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku;
selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
155Orang jahat tidak akan diselamatkan,
kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu.
156Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN;
kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.
157Banyak orang memusuhi dan menindas aku,
tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu.
158Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu,
kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu.
159Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN.
Selamatkanlah aku,
kerana kasih-Mu.
160Segala firman-Mu benar,
dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi.
Kesetiaan terhadap Taurat TUHAN
161Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan,
tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti.
162Janji-Mu membahagiakan aku,
seperti orang yang menemukan harta.
163Aku sangat membenci segala dusta,
tetapi aku mencintai Taurat-Mu.
164Aku terus-menerus bersyukur kepada-Mu
bagi ketetapan-Mu yang adil.
165Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan;
mereka tidak akan ditimpa malapetaka.
166Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN,
dan aku melakukan segala perintah-Mu.
167Aku mentaati ajaran-Mu,
dan mencintainya dengan segenap hati.
168Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu,
kerana Engkau melihat segala perbuatanku.
Doa Minta Tolong
169Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN!
Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan.
170Dengarkanlah doaku,
dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
171Aku akan memuji Engkau selalu,
kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu.
172Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu,
kerana perintah-Mu adil.
173Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku,
kerana aku mahu mengikut perintah-Mu.
174Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu,
Taurat-Mu menggembirakan hatiku.
175Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau;
semoga peraturan-Mu menolong aku.
176Aku merayau seperti domba yang sesat;
oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu,
kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu.

Currently Selected:

MAZMUR 119: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

YouVersion uses cookies to personalize your experience. By using our website, you accept our use of cookies as described in our Privacy Policy