KISAH RASUL-RASUL 1:1-11

KISAH RASUL-RASUL 1:1-11 BM

Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah. Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, “Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.” Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?” Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan menutupi Dia daripada pandangan mereka. Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih berdiri di sisi mereka. “Hai orang Galilea,” kata kedua-dua orang itu, “mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan KISAH RASUL-RASUL 1:1-11

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami